Al-Nassr Dimalukan Kelab Divisyen Kedua Sepanyol
MakanBola
UD Almeria

Kelab gergasi Arab Saudi, Al-Nassr terpaksa menelan kepahitan apabila tewas 3-2 kepada kelab LaLiga2, Almeria dalam aksi persahabatan pra-musim.

Aksi persahabatan ini merupakan aksi terakhir buat kedua-dua pasukan sebelum mengharungi musim 2025/26 di negara masing-masing.

Legenda Portugal, Cristiano Ronaldo mengetuai cabaran Al-Nassr. Bintang Brazil, Lazaro pula diberi tanggungjawab mengetuai jentera serangan Almeria.

Gawang Al-Alami yang dikawal Nawaf Al-Aqidi dibolosi seawal minit keenam. Pemain tengah, Sergio Arribas mudah menyudahkan hantaran Leo Baptistao melepasi kawalan Nawaf.

Keceriaan tuan rumah hanya bertahan selama 11 minit. Ronaldo kemudiannya menyamakan kedudukan buat pelawat selepas menyempurnakan gerakan serangan berpasukan yang direncana Sadio Mane dan Joao Felix.

Al-Nassr kemudiannya mendahului pada minit ke-39 menerusi penalti legenda Manchester United itu. Almeria bangkit menyamakan kedudukan menerusi percubaan jarak jauh Adri Embarba pada minit ke-43.

Separuh masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan terus berusaha mencari gol kemenangan. Situasi ini mendorong kedua-dua pasukan membuat beberapa pertukaran pemain.

Percaturan ketua jurulatih Almeria, Rubi membuahkan hasil pada minit ke-61. Embarba sekali lagi menjadi duri dalam daging kepada Al-Nassr dengan rembatan deras yang menerjah jaring pelawat.

Keputusan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini dijangka memberi peluang buat kedua-dua pasukan memperkemaskan rentak sebelum saingan LaLiga2 dan Saudi Pro League (SPL) bermula.

Almeria membuka kempen liga dengan menentang Albacete pada 19 Ogos. Al-Nassr pula akan mengharungi aksi separuh akhir Saudi Super Cup dengan menentang Al-Ittihad pada hari sama.