Pemain tengah Selangor, Alex Agyarkwa memberi bayangan bakal meninggalkan pasukan tidak lama lagi.
Masa hadapan Alex Agyarkwa bersama Selangor sebelum ini menjadi persoalan ramai peminat apabila timbul khabar angin khidmat beliau tiada dalam pelan jurulatih, Katsuhito Kinoshi.
Malah, Alex Agyarkwa turut tidak menyertai pasukan ke kem pra-musim Selangor yang sedang berjalan di Thailand sejak minggu ini yang menyaksikan beliau berlatih bersama skuad B-23.
Menerusi catatan Instastory Alex Agyarkwa terbaharu seakan memberi bayangan bahawa pemain kelahiran Ghana ini bakal meninggalkan Selangor selepas memuat naik foto loker jersi beliau.
”Saya di sini ingin mengambil kesempatan untuk menghargai nombor jersi bertuah (nombor 24),” tulis Alex Agyarkwa.
“Ia bukan sekadar nombor tetapi ia telah menjadi sumber keyakinan dan tuah.”

Tonggak tengah itu turut memuat naik gambar sesi latihan pasukan Selangor dengan bayangan menjadi sesi terakhir beliau dan menimbulkan tanda tanya ke mana destinasinya.
“Latihan terakhir bersama rakan-rakan saya,” ujar pemain berusia 25 tahun itu.

Menurut wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Alex Agyarkwa dijangka akan memperkuat Negeri Sembilan bagi menggantikan tempat pemain sasaran asal, Oday Kharoub.
Untuk rekod, Alex Agyarkwa sertai Selangor pada tahun 2021 dan merekodkan 64 penampilan selain melakukan 11 bantuan jaringan meskipun musim lalu bergelut dengan kecederaan.