Pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim menzahirkan rasa syukur kepada Allah s.w.t kerana dapat menjaringkan gol buat Harimau Malaya dalam tempoh 623 hari.
Hal itu dinyatakan beliau dalam satu hantaran di media sosial selepas menyumbat gol ketika aksi skuad negara menentang Laos di Vientiane.
“Alhamdulillah selepas 623 hari,” katanya ringkas dalam satu hantaran di Facebook.
Kali terakhir pemain sayap Selangor FC itu menjaringkan gol buat Harimau Malaya ialah aksi peringkat kumpulan Piala Asia 2023 menentang Korea Selatan.
Kelicikan pemain sayap berusia 27 tahun itu berjaya memerangkap tiga pemain Korea Selatan termasuk bek tengah Bayern Munich, Kim Min-jae.
Gol Faisal dalam aksi tersebut turut dipilih ramai penyokong di Asia sebagai Gol Terbaik Piala Asia 2023.
Faisal kemudiannya diuji apabila menjadi mangsa serangan asid pada Mei 2024. Susulan itu, beliau kemudiannya menjalani proses pemulihan yang sukar sebelum kembali beraksi pada Ogos tahun sama.
Selepas mengambil masa untuk menemui prestasi lamanya, Faisal kembali menyerlah pada musim 2025/26. Beliau sudah menjaringkan lima gol dan mencipta empat bantuan gol setakat ini.
Selepas hantaran tersebut dimuat naik, ramai penyokong gembira melihat Faisal kembali menemui sentuhan gol bersama skuad kebangsaan.
Seorang penyokong bernama Jawiers Sudien menyifatkan Faisal telah kembali ke tahap terbaik menerusi gol tersebut. “Selamat kembali Mickey, Mickey telah kembali,” katanya di ruang komen.
Seorang lagi penyokong bernama Muhd Salihin turut bersetuju dengan komen tersebut. Dia percaya kombinasi Faisal dan Arif Aiman Hanapi mampu membawa Harimau Malaya lebih ke hadapan.
“Mantap FH (Faisal Halim), semoga dapat balik rentak macam sebelum ni. Digandingkan dengan AA (Arif Aiman) HM (Harimau Malaya) menyerlah dahulu. Rakyat Malaysia akan terus berdoa supaya FH jadi hebat balik,” ujarnya.
Bisa Faisal dijangka ditagih pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski untuk aksi timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 14 Oktober ini.