Amaran Awal JDT Buat Kelab Jepun, Machida Zelvia
MakanBola
Johor Southern Tigers

Amaran awal jaguh Liga Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelang pertemuan menentang kelab Jepun, Machida Zelvia.

Skuad kendalian Xisco Munoz terus cemerlang dalam saingan Liga Super Malaysia selepas merakamkan kemenangan ketujuh dalam semua kejohanan domestik.

Harimau Selatan terus gah memimpin carta Liga Super 2025-26 apabila merakamkan kemenangan besar 8-0 ke atas Sabah FC pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, malam ahad lalu.

JDT membawa momentum terbaik berdepan kelab Jepun, Machida Zelvia bagi aksi kedua kempen AFC Champions League Elite (ACLE) musim ini.

Juara bertahan Liga Super itu memiliki rekod jaringan yang cukup memberangsang apabila meledak 19 jaringan dalam lima aksi terakhir dalam semua kejohanan.

Malah, JDT juga memiliki profil penjaring berbeza dengan penyerang warisan negara, Joao Figueiredo kini mendahului carta penjaring pasukan dengan 9 gol disusuli pemain muda sensasi negara, Arif Aiman Hanapi dengan 5 jaringan.

Kepulangan penyerang handalan JDT, Bergson Da Silva yang merekodkan hatrik menentang Sabah memberikan pilihan tambahan buat pasukan bagi mengharungi kejohanan musim ini.

Machida kendalian Go Kuroda dihimpit masalah prestasi selepas hanya merekodkan satu kemenangan dalam lima aksi terakhir termasuklah keputusan seri menentang Seoul pada aksi pembukaan ACLE tempoh hari.

Aksi antara JDT menentang Machida Zelvia bakal berlangsung pada 30 September 2025 jam 8.15 malam di Stadium Sultan Ibrahim.