“Amat Jelas, Pemain Kuching City Tarik Baju Safawi Rasid” – Jurulatih KL City
MakanBola
KL City FC

Jurulatih KL City, Risto Vidakovic pelik melihat situasi Safawi Rasid yang ditarik oleh pemain Kuching City namun tidak diberikan sepakan penalti ketika aksi Liga Super pada Rabu.

KL City dan Kuching City terpaksa akur berkongsi satu mata dalam pertemuan penuh sengit di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur dengan Safawi Rasid dan Ngah Wanja muncul selaku penjaring.

Pertembungan antara pasukan yang rancak memburu tangga kedua Liga Super ini bagaimanapun dicemari oleh keputusan pengadil yang tidak memberikan sepakan penalti kepada KL City.

Ini selepas pasukan tuan rumah mendakwa pemain sayap, Safawi Rasid telah ditarik ketika melakukan larian di dalam kotak penalti oleh pertahanan kiri Kuching City, Scott Woods.

Semakan oleh VAR turut menyaksikan keputusan pengadil kekal tanpa memberikan sepakan penalti kepada The City Boys sehingga menimbulkan rasa kurang senang di kem KL City.

Kehampaan jelas kelihatan di raut wajah Risto Vidakovic yang merasakan situasi itu amat jelas memperlihatkan baju Safawi Rasid ditarik dari arah belakang setelah beliau sendiri melihat video ulang tayang.

”Saya rasa situasi itu jelas. Sangat jelas. Saya melihatnya dalam rakaman video. Ia benar-benar jelas.”

“Jersi (Safawi Rasid) telah ditarik dari belakang, jadi saya tak faham mengapa keputusan (sepakan penalti) tidak diberikan. Situasi itu sungguh pelik,” ulas Risto Vidakovic ketika ditemui selepas perlawanan.

Perasaan tersebut timbul ketika mana Risto Vidakovic sendiri pelik mengapa pengadil tidak memberikan tendangan penalti setelah para pemain beraksi cukup cemerlang di depan 1,137 peminat KL City.

“Saya tidak tahu sebabnya. Saya hanya berkata berdasarkan apa yang saya lihat. Jadi, saya rasa perkara seperti ini perlu dibincangkan sedikit, selain daripada perlawanan itu sendiri.”

“Kami bermain dengan sangat baik, tambahan pula bermain di halaman sendiri. Jika anda melihat insiden itu, keputusan (penalti) sepatutnya diberikan.”

“Saya tidak tahu mengapa sepakan penalti itu tak diberikan, tetapi ia memang sepatutnya (diberi).”

Keputusan seri 1-1 ini menyaksikan KL City kekal di tangga ke-3 Liga Super, berkongsi 25 mata bersama Kuching City yang menghuni tempat kedua namun memiliki kelebihan gol.