Iran bakal berdepan halangan sukar jika mahu menyertai saingan Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico.
Ini kerana portal Give Me Sport melaporkan kerajaan AS menghalang kemasukan delegasi Iran daripada menghadiri undian kejohanan itu pada Disember ini.
Tindakan ini dilihat selaras dengan polisi pentadbiran Presiden Donald Trump yang menghalang warga Iran daripada memasuki AS. Iran antara 12 negara yang tersenarai dalam senarai larangan tersebut.
Delegasi Iran yang sepatutnya hadir terdiri daripada Presiden Persekutuan Bola Sepak Republik Islam Iran (FFIRI), Mehdi Taj, jurulatih pasukan itu, Amir Ghalenoei dan tujuh lagi pegawai rasmi.
Hal ini menimbulkan kebimbangan bahawa ini akan menjejaskan penyertaan Iran dalam Piala Dunia 2026. Ini kerana Iran antara pasukan terawal mengesahkan kemaraan dalam peringkat kelayakan Zon Asia.
Situasi ini juga dijangka menambah rasa tidak puas hati ramai pihak terhadap tindak-tanduk AS dalam sukan bola sepak.
Sebelum ini, AS memaklumkan bahawa mereka akan memberi tentangan habis-habisan seandainya FIFA dan UEFA mengusir Israel dari arena bola sepak antarabangsa.
Ini disebabkan kemungkinan negara itu layak ke Piala Dunia 2026 berdasarkan prestasi semasa di peringkat kelayakan Zon Eropah.
Potensi tersebut menyebabkan Sepanyol bersedia memboikot kejohanan itu seandainya Israel layak. Ini selaras dengan pendirian kerajaan itu yang menentang kekejaman rejim ke atas rakyat Palestin.