Penjaga gol Cameroon, Andre Onana berpotensi mengucapkan selamat tinggal kepada Manchester United.
Ini selepas wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano mendedahkan kelab itu telah menerima tawaran perpindahan pinjaman dari kelab Turkiye, Trabzonspor.
Kelab yang dibimbing Fatih Tekke itu melihat Onana sebagai calon penjaga gol utama untuk menghadapi musim 2025/26.
Ini ditambah dengan kelab itu memiliki tiga penjaga gol muda iaitu Onuralp Cevikkan, Ahmet Yildrim dan Erol Can Colak.
Kedudukan Onana mula tergugat susulan prestasi tidak menentu penjaga gol berusia 29 tahun itu. Ini termasuk kesilapan ketika aksi pusingan kedua Piala EFL menentang Grimbsy Town baru-baru ini.
Ini ditambah dengan United mendapatkan penjaga gol muda Belgium, Senne Lammens dari Antwerp dengan yuran perpindahan £21.7 juta (RM123 juta).
Selain Onana, kedudukan seorang lagi penjaga gol iaitu Altay Bayindir juga dalam bahaya. Ini kerana penjaga gol Turkiye itu turut menunjukkan prestasi goyah dalam beberapa aksi liga bersama United.
Sekiranya Onana dan Bayindir meninggalkan The Red Devils, penjaga gol veteran, Tom Heaton bakal menjadi penjaga gol sokongan di belakang Lemmens.