Angkara Negara Haram, Jaguh Lubnan Dihalang Sertai WAKO World Championship
UltraSukan
Nassib Iyad Hamede

Seorang jaguh kickboxing Lubnan disekat daripada bertanding dalam saingan WAKO World Championship kerana memijak bendera Israel.

Perkara ini terjadi kepada jaguh Lubnan, Nassib Hamede berdasarkan satu laporan Roya News.

Nassib dikenakan tindakan sedemikian selepas dikesan mematahkan bendera dan memijak bendera Israel semasa upacara pembukaan WAKO World Championship di Uzbekistan.

Tindakan beliau mencetuskan kemarahan kontinjen Israel. Lantas, mereka menggesa WAKO mengambil tindakan ke atas jaguh Nassib.

Jaguh Lubnan itu diberi peluang memohon maaf kepada kontinjen Israel sekiranya mahu bertanding dalam kejohanan itu. Walau bagaimanapun, perkara itu ditolak sekeras-kerasnya oleh Nassib.

“Kalau mereka ambil nyawa saya sekalipun, saya tidak akan memohon maaf,” katanya dengan tegas.

Nassib melihat ini sebagai tindakan memelihara kehormatan buat orang yang tertindas di tangan rejim Israel. Beliau turut menggesa atlet lain mengambil langkah sama terhadap ketidakadilan terutama yang dilakukan rejim.