Pemain muda Malaysia, Annil Vigneswaran menjadi pemain ketiga negara beraksi di bumi Thailand.
Ini selepas beliau melengkapkan perpindahan ke kelab Thai League 2, Nakhonsi United. Perpindahan pemain berusia 21 tahun itu disahkan pengurusan kelab dalam satu kenyataan.
“Nakhonsi United sukacita mengumumkan perpindahan Annil Vigneswaran, pemain tengah Malaysia B-23 ke The Southern Dragons!
“Pemain berusia 21 tahun (lahir pada 25 Ogos 2003) memiliki ketinggian 1.84 meter, gemar menggunakan kaki kanan dan berupaya beraksi sebagai pemain tengah bertahan dan bek tengah,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Perpindahan ini sekaligus mengesahkan khabar angin perpindahan yang dikongsikan wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran baru-baru ini.
Annil menyertai dua lagi pemain Malaysia, Sergio Aguero dan David Rowley. Aguero dan Rowley masing-masing beraksi untuk Kanchanaburi Power dan Chanthaburi FC.
Aguero bakal beraksi dalam saingan Thai League 1 bersama dua bekas bintang EPL, Andros Townsend dan Aboubakar Kamara.
Rowley pula bakal berentap dengan Annil dalam Thai League 2 apabila kedua-dua pasukan bertemu pada 2 Disember ini.