Penasihat Kelantan The Real Warrior FC (KTRW FC), Tan Sri Annuar Musa memaklumkan sekatan perpindahan FIFA yang dihadapi pasukan itu akan selesai sebelum 31 Julai ini.
Hal ini dinyatakan beliau kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom apabila ditanya tentang situasi tersebut.
Semakan di pangkalan data FIFA menunjukkan kelab Pantai Timur itu masih berdepan sekatan perpindahan FIFA sejak 19 Jun lalu.
Annuar memaklumkan pengurusan baharu Kelantan TRW berusaha menyelesaikan isu tersebut sebelum tarikh berkenaan.
Ini kerana apabila sekatan itu ditarik balik, ini memudahkan kelab itu mendaftarkan pemain untuk menghadapi musim 2025/26.
“(Sekatan) FIFA ini (berlaku) apabila beberapa pemain yang dulunya kerana terlepas pandang, ada pertikaian yang tidak diuruskan dengan baik.
“Ada aduan tapi surat tak dijawab, surat FIFA dibiarkan (oleh) pengurusan dulu. Mungkin kerana ketiadaan pengalaman, benda itu dibiarkan dan akhirnya ada sekatan (daripada FIFA).
“Ada tiga, empat sekatan sebenarnya tapi semua kesnya tak sama. Jadi, pengurusan baharu kena runding satu persatu,” katanya.
Annuar turut memaklumkan daripada beberapa kes yang dirundingkan pengurusan baharu Kelantan TRW, mereka kini perlu menyelesaikan satu kes.
Kelantan TRW sudah mendapatkan dua bekas pemain Sri Pahang FC, Azwan Aripin dan T. Saravanan untuk kempen musim 2025/26.