Kemenangan Johor Darul Ta’zim (JDT) ke atas Shanghai Port bakal memberikan kesan yang besar sekiranya berlaku dalam aksi ke-6 AFC Champions League Elite (ACLE).
Pertemuan antara JDT menentang Shanghai Port dijadualkan berlangsung pada Selasa dengan misi besar skuad Harimau Selatan ini untuk mengutip 3 mata berharga di hadapan para penyokong sendiri.
Misi tersebut tampak tidak mustahil untuk dilakukan, melihat kepada rekod cemerlang JDT apabila turun menentang kelab dari China dengan menang 5 daripada 9 pertemuan sebelum ini.
Malah, persembahan Shanghai Port dalam aksi ACLE musim ini juga dilihat tidak berada di tahap terbaik apabila sekadar seri sekali dan tewas 4 kali dalam 5 perlawanan yang dilalui.
Seandainya misi kemenangan ini berjaya dicapai, kedudukan JDT dalam carta ACLE sudah pasti akan melonjak tinggi dan pada masa yang sama kukuhkan tempat dalam kelompok 8 kelab terbaik.
Mengikut perkiraan kasar, JDT yang kini mengumpul 7 mata bakal melonjak ke kedudukan kedua maksimum bergantung kepada keputusan perlawanan-perlawanan yang berjalan di venue lain.
Selain itu, Malaysia juga berpeluang menambah mata dalam kiraan AFC MA Ranking jika JDT berjaya kalahkan Shanghai Port sekaligus merapatkan jurang dengan negara-negara di sekitarnya.
Walau bagaimanapun, perlu diingatkan cabaran Shanghai Port ini tidak boleh diambil mudah memandangkan skuad kendalian Kevin Muscat ini baru sahaja menjuarai Chinese Super League.
Prestasi semasa dan rekod pertemuan ini sudah pasti bakal menambah ‘rasa’ dalam pertemuan antara JDT vs Shanghai Port jam 8.15 malam pada Selasa di Stadium Sultan Ibrahim.