Sekiranya Malaysia berjaya menewaskan Laos dalam aksi ke-3 pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2027, apa yang akan berlaku?
Perlawanan antara Laos vs Malaysia akan berlangsung pada Khamis di Vientienne dengan aksi antara dua negara ASEAN ini bakal menjadi perhatian terutamanya peminat bola sepak serantau.
Andai kemenangan memihak skuad Harimau Malaya nanti, ini sudah pastinya bakal memberikan satu tonik tambahan untuk Malaysia dalam perjalanan ke pentas Asia meski diuji dengan isu semasa.
Kemenangan ke atas Laos akan menghadiahkan 3 mata buat Malaysia sekaligus mengukuhkan tempat pasukan negara di kedudukan teratas kumpulan H dengan mengumpul 9 mata maksimum.
Malah, skuad kebangsaan berpeluang menerima tambahan +6.78 mata ranking sekiranya berjaya mengatasi tentangan Laos dan meraih sejumlah 1155.01 mata secara keseluruhan.
Kejayaan mengutip 3 mata di laman lawan ini pastinya akan menjadi tonik tambahan yang manis buat motivasi pasukan Malaysia setelah terpalit dengan isu pemalsuan dokumen baru-baru ini.
Seramai 7 orang tonggak warisan negara didakwa bermain mewakili Malaysia menggunakan dokumen kelahiran datuk dan nenek yang palsu oleh FIFA dan kes ini masih berjalan sehingga kini.
Di sebalik isu yang melanda ini, kem negara tampak masih tenang dan fokus terhadap pertemuan ini dengan jurulatih, Peter Cklamovski enggan memikirkan sebarang masalah di luar padang.
”Itu (isu FIFA) sesuatu yang langsung di luar kawalan kami,” tegas Peter Cklamovski ketika sidang media pra perlawanan.
“Kami tidak menumpukan perhatian kepada perkara di luar kem latihan,” jelas bekas jurulatih FC Tokyo itu lagi.
Sokongan padu rakyat Malaysia amat diperlukan ketika ini meskipun hukuman yang dijatuhkan oleh FIFA minggu lalu benar-benar mengejutkan ramai pihak khususnya peminat setia Harimau Malaya.
Walau bagaimanapun, perjuangan pemain-pemain negara di Laos ketika ini perlu diberikan perhatian dan semangat sama perlu diteruskan seperti mana semasa Malaysia mencatatkan kemenangan dalam dua aksi lalu.