Arctic Open: Lee Zii Jia Tewas Kepada Koki Watanabe Buat Kali Ketiga
UltraSukan
Olympic Malaysia

Misi jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia untuk mempertahankan kejuaraan Arctic Open terpaksa dilupakan setelah tunduk di tangan pemain Jepun, Koki Watanabe.

Setelah cemerlang menyingkirkan Yushi Tanaka di pusingan kedua pada Khamis, Zii Jia turun berdepan seorang lagi wakil Jepun di suku akhir dalam usaha untuk melangkah lebih jauh lagi.

Walaupun dari segi ranking memihak Zii Jia, namun pemain kelahiran Kedah ini mahu menamatkan badi buruk setelah tumpas dalam dua aksi terdahulu berdepan Koki Watanabe.

Permulaan permainan menyaksikan kedua-dua pemain lebih gemar bermain pukulan-pukulan rally ke bahagian belakang gelanggang sebelum Koki memimpin aksi 11-6 ketika interval.

Pada suatu ketika, Zii Jia tergelincir setelah terpedaya oleh pukulan helah lawan yang menggangu rentak wakil negara ini dan Koki mengambil kesempatan untuk raih kemenangan.

Kembali di set kedua, semangat baharu yang dibawa Zii Jia berhasil memerangkap Koki sekaligus menghadiahkan mata-mata mudah untuk jaguh kelahiran Kedah ini mendahului 11-4.

Meskipun Koki berusaha mengejar kedudukan Zii Jia, namun juara Australian Open ini masih tenang mengawal permainan dengan membalas pukulan lawan dan mengheret aksi ke set ketiga.

Di set penentuan, Zii Jia ketinggalan di awal aksi dengan Koki lebih banyak menyerang sebelum pemain di ranking keempat dunia ini akur tumpas buat kali ke-3 berturut-turut di tangan wakil Jepun ini.

Aksi di gelanggang satu berakhir dengan keputusan 21-15, 13-21, 21-12 buat Koki Watanabe.

Di peringkat separuh akhir nanti, Koki Watanabe bakal berhadapan dengan pemenang di antara Alex Lanier dari Perancis atau jaguh Chinese Taipei, Chou Tien Chen pada Sabtu.