Argentina B-20 & Pablo Aimar Terlepas Gelaran Juara Dunia
MakanBola
Seleccion Argentina

Bekas pemain import Johor Darul Ta’zim (JDT), Pablo Aimar terlepas peluang bergelar juara dunia bersama Argentina B-20.

Ini selepas pasukan itu tumbang 2-0 di tangan Maghribi dalam aksi final Piala Dunia B-20 di Estadio Nacional Julio Martinez Pradanos, Santiago, Chile.

Jurulatih pasukan, Diego Placente dan Aimar selaku penolong jurulatih berharap dapat mengulangi kejayaan bergelar juara bersama Argentina sebagai jurulatih.

Placente dan Aimar bukan asing dengan Piala Dunia B-20. Ini kerana mereka menjadi sebahagian daripada pasukan Argentina yang menjulang trofi tersebut di Malaysia pada 1997.

Meskipun berstatus pasukan bukan pilihan, Maghribi sudah membuktikan mereka bukan pasukan calang-calang. Ini terbukti apabila mereka menyingkirkan Perancis di peringkat separuh akhir.

Pasukan Afrika Utara itu membuka tirai jaringan seawal minit ke-12 menerusi penyerang muda Famalicao, Yassine Zabiri.

17 minit kemudian, gawang skuad muda Argentina yang dikawal Santino Arbi bocor lagi buat kali kedua. Zabiri sekali lagi bertanggungjawab merobek gawang anak buah Diego Placente.

Argentina cuba bangkit pada separuh masa kedua untuk mengurangkan defisit gol. Walau bagaimanapun, keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kejayaan ini menyaksikan Maghribi menjadi wakil Afrika Utara pertama bergelar juara dunia. Mereka juga menjadi pasukan Afrika kedua bergelar juara selepas Ghana.