Arif Aiman Bintang Malaysia Pertama Tercalon Pemain Terbaik Tahunan AFC
MakanBola
Johor Southern Tigers

Satu lagi sejarah dilakar pemain sayap kebangsaan, Arif Aiman Hanapi di pentas Asia.

Ini kerana Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengumumkan pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) itu antara calon Pemain Terbaik Tahunan AFC 2025.

Ini menjadikan Arif sebagai bintang pertama Malaysia tercalon dalam anugerah berprestij itu. Pemain sayap berusia 23 tahun itu bakal berdepan cabaran Akram Afif dan Salem Al-Dawsari.

Akram dijangka menjadi pilihan utama untuk anugerah tersebut. Ini kerana beliau pernah meraih anugerah sama untuk tahun 2019 dan 2024.

Sekiranya nama bintang Qatar itu dipilih sebagai pemenang, Akram bakal menjadi pemain pertama memenangi anugerah itu sebanyak tiga kali.

Salem dan Arif masing-masing dijangka memberi saingan sengit berdasarkan pencapaian mereka pada musim 2024/25. 10 gol penyerang Arab Saudi itu membantu kelabnya, Al-Hilal mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).

Salem juga menjadi sebahagian daripada pasukan sama yang mara ke peringkat suku akhir Piala Dunia Kelab 2025. Lima gol Arif dalam ACLE bukan saja membantu JDT mara ke pusingan 16 terbaik kejohanan itu.

Malah, beliau juga dilihat antara figura utama di sebalik kejayaan treble JDT untuk musim 2024/25. Selain itu, Arif juga antara tonggak utama Harimau Malaya yang dilihat sebagai kunci kepada pasukan itu menduduki tangga teratas Kumpulan F.

Pemenang Anugerah Pemain Terbaik Tahunan AFC 2025 dijangka diketahui dalam Anugerah Tahunan AFC 2025 yang akan diadakan di Riyadh, Arab Saudi pada 16 Oktober ini.