Pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi menjalani proses pemulihan kecederaan di luar negara.
Khabar ini dikongsikan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam. Arif Aiman terbang ke luar negara pada hari sama JDT berdepan Kuching City FC untuk aksi separuh akhir kedua Piala FA.
“Arif Aiman terbang ke luar negara ketika JDT turun menentang Kuching City untuk menerima rawatan lanjut susulan kecederaan yang dialaminya sebelum ini,” katanya di X.
Pemain sayap berusia 23 tahun itu menjalani proses pemulihan selepas mengalami kecederaan ketika bersama Harimau Malaya.
Arif Aiman hanya sempat beraksi selama sembilan minit ketika menentang Laos sebelum digantikan kapten Selangor FC, Faisal Halim.
Sejak itu, Pemain Paling Bernilai (MVP) ABK24-25 itu kini fokus menjalani proses pemulihan. Situasi ini juga memaksa JDT terpaksa mengenepikan Arif Aiman untuk beberapa perlawanan termasuk Melbourne City.

Meskipun terbang ke luar negara, beliau tetap memberi sokongan kepada pasukan itu. Sebelum berangkat, Arif Aiman sempat menonton aksi JDT menerusi komputer ribanya di Instagram Story.
JDT mara ke final Piala FA apabila meraih kemenangan agregat 4-1 ke atas Kuching City.