Tonggak lincah Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi bergegas ke Arab Saudi selepas aksi semalam.
Pemain berusia 23 tahun itu beraksi cemerlang bersama Harimau Malaya terutamanya ketika membantu pasukan untuk menewaskan Laos dengan keputusan 5-1.
Pasukan kebangsaan turut kekal selaku pendahulu Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 dengan 12 mata – tiga mata meninggalkan Vietnam di tangga kedua.
Menerusi laporan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Arif bagaimanapun tidak menyertai pasukan untuk meraikan kemenangan bersama penyokong kerana perlu bergegas ke Arab Saudi.
Hal ini disebabkan beliau perlu bergegas ke Arab Saudi selepas tercalon selaku Pemain Terbaik Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bersama-sama dua bintang Asia, Saleem Al-Dawsari (Arab Saudi) dan juga Akram Afif (Qatar).
Arif menjadi watak penting buat JDT dan pasukan kebangsaan sejak musim lalu, merekodkan 7 jaringan dan 13 bantuan jaringan dalam saingan Liga Super.
Beliau turut cemerlang meledak lima jaringan dan dua bantuan gol pada saingan AFC Champions League Elite (ACLE) musim lalu bersama Harimau Selatan.
Bantuan jaringan penting oleh Arif kepada Romel Morales menjadi detik pengubah cerita kemenangan Harimau Malaya ke atas Laos di Bukit Jalil.