ARRC: Hafizh Syahrin Muncul Juara Di Sepang
UltraSukan
JDT Racing Team

Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah muncul juara perlumbaan pertama Asia Road Racing Championship (ARRC) untuk kategori Asian Superbike 1000 (ASB1000) di Sepang.

Hafizh berharap dapat bangkit selepas terjatuh dalam perlumbaan kedua ASB1000 di Mandalika, Indonesia beberapa minggu sebelumnya.

Keazaman ini terbukti apabila beliau meraih petak utama dalam acara kelayakan dengan catatan masa dua minit (m) 4,720 saat (s).

Hafizh mengatasi cabaran rakan senegara, Zaqhwan Zaidi dan pendahulu keseluruhan kategori ASB1000 dari Jepun, Keito Abe.

Kelebihan itu pantas dimanfaatkan beliau sebaik perlumbana bermula. Zaqhwan yang turut memburu gelaran juara keseluruhan ASB1000 pada awalnya mengekori di belakang.

Walau bagaimanapun, pelumba Idemitsu Honda Racing Malaysia itu dipintas rakan sepasukan, Azroy Hakeem Anuar dan Abe yang masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga.

Azroy Hakeem kemudiannya bernasib malang apabila terjatuh ketika cuba mengejar Hafizh. Ini membuka ruang buat Abe dan Zaqhwan merapatkan jurang dengan pendahulu perlumbaan itu.

Malangnya, Abe turut senasib dengan Azroy Hakeem apabila terjatuh ketika mengejar Hafizh. Ini membuka ruang buat Zaqhwan dan Nakarin Atiratphuvapat masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Ini sudah cukup buat Hafizh bukan saja muncul juara perlumbaan pertama di Sepang. Malah, ini membuka ruang buat beliau merampas gelaran pendahulu keseluruhan ASB1000 dengan 142 mata.

Hafizh memiliki kelebihan lapan mata mengatasi Zaqhwan yang meraih 134 mata dan Abe (133 mata).

Beliau berpeluang melebarkan kelebihan tersebut menerusi perlumbaan kedua ASB1000 yang akan berlangsung pada 12 Oktober ini.