Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah terlepas peluang bergelar juara perlumbaan kedua Asia Road Racing Championship (ARRC) di Mandalika, Indonesia.
Selepas meraih kemenangan dalam perlumbaan pertama Asian Superbike 1000 (ASB1000), beliau kelihatan yakin untuk menambah kemenangan ketiga untuk musim 2025.
Hafizh memulakan perlumbaan di kedudukan pertama berdasarkan catatan dalam pusingan kelayakan. Beliau diapit jaguh Jepun, Keito Abe dan wakil Australia, Lachlan Epis yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga dalam kelayakan.
Sebaik perlumbaan bermula, Hafizh tidak berdepan masalah menerajui perlumbaan. Abe yang mewakili SDG HARC-PRO. Honda Philippines mengekori di belakang sambil dicabar Azlan Shah Kamaruzaman.
Pada satu ketika, Hafizh sukar dicabar dengan kelebihan lebih satu saat di hadapan Abe. Malangnya, bekas jaguh MotoGP itu terjatuh ketika selesa mendahului.
Ini membuka ruang buat Abe sebagai pendahulu baharu perlumbaan. Azlan Shah yang mewakili A1 Energy BMW Racing Team terus memberi tentangan sengit kepada pelumba Jepun itu.
Azlan kemudiannya berjaya memintas Abe dan kekal di hadapan sehingga ke garisan penamat. Pelumba Indonesia, Andi Farid Izdihar menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
Ini kemenangan pertama Azlan dalam saingan ASB1000 sejak perlumbaan di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand pada 2024. Ini juga hadiah terbaik beliau sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-68.
Keputusan ini menyaksikan Abe kembali menerajui kategori ASB1000 sekaligus merampas kedudukan tersebut daripada Hafizh.
Perebutan kejuaraan ASB1000 dijangka lebih hangat menjelang pusingan kelima ARRC di Sepang, Malaysia dari 10 hingga 12 Oktober ini.