Arsene Wenger Terpegun Lihat Bakat Malaysia B-16
MakanBola
FIFA/FAM

Naib Presiden FAM, Datuk Dollah Salleh mendedahkan bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger kagum melihat bakat yang dimiliki pemain Malaysia B-16.

Hal ini didedahkan beliau apabila diminta mengulas prestasi anak buah Javier Jorda Ribera selepas kembali dari Croatia baru-baru ini.

Dollah memaklumkan bakat ubi muda negara itu menarik perhatian Wenger ketika mereka beraksi dalam saingan FIFA Youth Series pada Mei lalu.

Bekas jurulatih AS Monaco itu merasa kagum dan tidak menyangka Malaysia memiliki pemain-pemain muda berkualiti.

“Sebab itu sampaikan Arsene Wenger sendiri menilai pemain-pemain Malaysia B-17. Dia tidak menyangka dengan prestasi dan kemahiran individu (pemain-pemain negara).

“Sampai dia datang (dan) dia nak tengok beberapa pemain yang dia cakap ada tahap berkualiti,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Dollah turut mengingatkan peminat bola sepak negara bahawa kekalahan 11-0 Malaysia B-16 di tangan Croatia baru-baru ini tidak patut dijadikan ukuran.

Ini kerana perlawanan tersebut dilihat medan eksperimen buat Ribera menguji barisan terbaik sebelum pusingan kelayakan Piala Asia B-17 2026 di Vietnam.

“Kita tahu di Zurich (untuk saingan FIFA Youth Series), mereka boleh bermain. Sebab kita ada kesebelasan terbaik dan penggantinya pun yang terbaik.

“Dan kita tahu kekuatan setiap pemain. Kita boleh nampak kemantapan (skuad Malaysia B-16) semasa di Zurich,” ujarnya.

Anak buah Ribera bakal meneruskan latihan di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) sebelum fokus kepada pusingan kelayakan Piala Asia B-17 2026.

Malaysia berada dalam Kumpulan C bersama Vietnam, Mariana Utara, Singapura, Macau dan Hong Kong.