Skuad futsal Malaysia B-19 tetap layak ke separuh akhir ASEAN Futsal Cup B-19 meskipun tewas 1-0 kepada Indonesia.
Selepas Indonesia membelasah Myanmar 4-1 dalam aksi kedua kumpulan pada 24 Disember lalu, Malaysia perlu memastikan rekod jaringan mereka lebih baik jika mahu layak.
Penjaga gol Kelantan FT, Ammar Harith Mohammad terus diberi amanah sebagai penjaga gol utama skuad negara.
Gawang Malaysia yang dikawal Ammar Harith bocor seawal minit pertama menerusi Andika Ferdiansyah.
Tersentak, Malaysia yang dibimbing jurulatih Thailand, Rakhpol Sainetngam pantas memperkemaskan rentak bagi menyukarkan serangan Indonesia.
Situasi ini menyebabkan Indonesia gagal menambah kelebihan satu gol mereka sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Indonesia semakin ghairah mengasak skuad negara untuk memburu gol tambahan.
Malaysia hampir menyamakan kedudukan menerusi bintang muda Pahang Rangers, Adam Rayyan Nor Hisam. Malangnya, percubaan beliau pantas dinafikan penjaga gol Indonesia.
Meskipun diserang bertubi-tubi Indonesia, Malaysia memastikan keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Walaupun tewas, Malaysia mara selaku naib juara Kumpulan B. Ini disebabkan pasukan itu memiliki rekod pertemuan lebih baik berbanding Myanmar.