ASEAN Futsal Cup B-19: Thailand Buat Malaysia Kempunan Tiket Final
UltraSukan
Changsuek

Skuad futsal Malaysia B-19 terpaksa menelan kepahitan apabila tersingkir di peringkat separuh akhir ASEAN Futsal Cup B-19 2025.

Malaysia terpaksa akur dengan kehebatan tuan rumah, Thailand yang meraih kemenangan menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Nonthaburi.

Meskipun berstatus pasukan bukan pilihan, skuad muda negara yang dibimbing Rakhpol Sainetngam bersemangat untuk mencipta kejutan ke atas Thailand.

Thailand terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Phakphum Thiamtee pada minit ketiga.

Pemain Selangor FC, Fitri Haqim Faizanizam kembali menceriakan kem negara dengan gol penyamaan seminit selepas itu.

Kedua-dua pasukan berusaha mencari gol tambahan tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, anak buah Rakhpol menunggu masa sesuai untuk menyumbat gol kedua.

Seorang lagi pemain Selangor, Aidl Zaquan Mohd Azman meletakkan Malaysia di hadapan pada minit ke-26.

Adam Rayyan Nor Hisam memastikan Malaysia memiliki kelebihan dua gol dengan gol pada minit ke-28. Monthana Jankrajang merapatkan jurang buat Thailand lapan minit selepas itu.

Thailand menggunakan taktik power play dengan harapan dapat meraih gol penyamaan. Hasilnya, mereka meraih gol tersebut menerusi Phakphum pada minit ke-39.

Ini memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan untuk menentukan pemenang. Thanakrit Ouansiri meletakkan Thailand di hadapan pada minit ke-41.

Thanathanakon Deeklang menyangka telah menyumbat gol kelima Thailand pada minit ke-44. Malangnya, gol tersebut dibatalkan selepas pengadil mendapati beliau melanggar pemain Malaysia.

Tatkala kemenangan seakan memihak kepada Thailand, Iqbal Hazim Radzi meledakkan gol penyamaan pada minit ke-48.

Selepas kedua-dua pasukan terikat 4-4 selepas 50 minit, pemenang ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.

Thailand muncul pemenang dengan menewaskan Malaysia menerusi keputusan 4-3. Ini bermakna Thailand akan bertemu Indonesia di pentas final.

Malaysia pula akan berentap dengan Vietnam untuk aksi penentuan tempat ketiga kejohanan.