Bekas pemain kebangsaan, Asmawi Bakiri yakin dengan peluang Harimau Malaya mengutip sekurang-kurangnya sembilan mata dalam tiga aksi kelayakan Piala Asia 2027.
Hal ini dinyatakan beliau apabila diminta mengulas perkembangan terkini pasukan yang dibimbing Peter Cklamovski itu.
Selepas ini, skuad negara akan menentang Laos sebanyak dua kali pada Oktober iaitu 9 dan 14 Oktober. Ini disusuli aksi menentang Nepal pada 18 November di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Asmawi melihat tiga aksi ini sebagai peluang terbaik buat Harimau Malaya meraih sembilan mata. Pada masa sama, beliau berharap skuad negara mempamerkan prestasi terbaik untuk mengekalkan rekod baik dalam Kumpulan F.
“Saya jangkakan saya nak ambil keputusan penuh dalam semua perlawanan, malah lawan menentang Vietnam pun kita kena menang di tempat Vietnam. Selain daripada mata, perkiraan mata di tempat lawan, menang di tempat sendiri, jaringan (dan) (bilangan gol yang) bolos kena ambil kira.
“Mungkin dengan kekuatan pemain individu ini, kita perlu dapatkan sasaran daripada perkiraan jaringan kita dengan Laos dan Nepal terutamanya, kita perlu ambil kesempatan.
“Dia kena ambil kira, jangan banyak bolos daripada baki empat perlawanan ini. Saya katakan kita tidak ada masalah jika kita dapat semua pemain utama kita balik bersatu dalam pasukan nanti,” katanya kepada Nadi Arena.
Harimau Malaya dilihat mula mengatur langkah awal sebagai persiapan menentang Laos. Ini selepas Unionistas de Salamanca mendedahkan Gabriel Palmero dipanggil menyertai skuad kebangsaan pada Oktober ini.