Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Aston Villa melakar kemenangan 2-0 ke atas kelab Israel, Maccabi Tel Aviv dalam aksi terbaru Liga Europa UEFA (UEL).
Aksi ini dibayangi dengan tindakan pihak berkuasa menyekat kehadiran penyokong Maccabi ke Villa Park atas alasan keselamatan.
Meskipun diberi tekanan oleh ramai pihak termasuk Perdana Menteri Britain, Sir Keir Starmer, pihak berkuasa Midlands tetap menguatkuasakan larangan tersebut.
Hari perlawanan turut menyaksikan ramai penduduk tempatan melancarkan tunjuk perasaan pro-Palestin. Tunjuk perasaan itu diadakan bagi membantah kehadiran Maccabi untuk aksi ini.
Villa yang dibimbing Unai Emery menurunkan barisan terkuat mereka. Ini termasuk pemain pinjaman Manchester United, Jadon Sancho dan bekas penyerang Borussia Dortmund, Donyell Malen.
Bekas pemain pertahanan Chelsea, Ian Maatsen membuka tirai jaringan buat tuan rumah pada minit akhir babak pertama.
Malen kemudiannya menyempurnakan penalti yang menewaskan penjaga gol Maccabi, Roei Mashpati pada minit ke-59. Ini selepas Ezri Konsa dijatuhkan pemain Maccabi dalam kotak penalti.
Dua gol tersebut sudah cukup memastikan anak buah Emery ceria pada akhir perlawanan. Keputusan ini turut melonjakkan Villa ke kedudukan lapan teratas liga UEL.
Persembahan cemerlang Maatsen turut diiktiraf oleh Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan. Beliau mendapat markah 8.0.