Azri Ghani Tak Takut Untuk Berpindah
MakanBola
Negeri Sembilan FC

Penjaga gol kebangsaan, Azri Ghani mengakui perpindahannya dari Kuala Lumpur City FC ke Negeri Sembilan FC bukan satu keputusan yang mudah namun beliau tidak takut untuk berpindah.

Dalam masa yang sama, penjaga gol berusia 26 tahun itu percaya setiap langkah yang diambil dalam karier bola sepaknya adalah ketentuan dan rezeki daripada Allah.

“Sedih tinggalkan KL City, tempat di mana saya naik. Saya percaya rezeki daripada Allah. Mungkin perjalanan saya ke Negeri Sembilan ada yang lebih menarik untuk saya.

“Saya tak takut untuk berpindah sebab dari situ saya belajar suasana baru, rakan-rakan yang baru dan kehidupan yang baru,” jelas Azri kepada MFL.

Azri yang merupakan anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan bukanlah nama yang asing dalam kancah bola sepak tempatan. Beliau memulakan karier profesional bersama Felda United sebelum menyertai Kedah, Perak dan kemudian KL City, kelab yang menaikkan reputasinya sebagai antara penjaga gol terbaik negara.

Persembahan konsisten bersama KL City menjadikan beliau sering mendapat panggilan ke kem latihan skuad kebangsaan Malaysia dan telah pun mencatat dua penampilan bersama Harimau Malaya.

Penambahan Azri Ghani hanyalah sebahagian daripada perancangan besar Negeri Sembilan FC dalam usaha mereka untuk memberikan cabaran sengit dalam saingan Liga Super 2025-2026. Selain Azri, skuad Jang turut membawa masuk beberapa nama besar yang mencuri perhatian, antaranya penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsuddin yang kembali ke tanah air selepas beraksi bersama KV Kortrijk di Belgium.

Turut menyertai pasukan ialah pertahanan berpengalaman Khuzaimi Piee dari Selangor FC, pemain tengah dari Ghana, Alex Agyarkwa yang dipinjamkan dari Selangor, serta pemain sayap lincah Jovan Motika yang sebelum ini memperkuatkan Kuala Lumpur City dan beberapa nama besar yang tidak kurang hebatnya.

Musim ini juga menyaksikan Negeri Sembilan mendapat sentuhan baharu di bangku kejurulatihan apabila melantik bekas pengendali Selangor FC, Nidzam Jamil sebagai ketua jurulatih. Pengalaman luas Nidzam dalam liga tempatan serta pendekatan taktikalnya yang moden dijangka mampu mengubah wajah pasukan Negeri Sembilan ke arah lebih segar dan mencabar.