Bekas jurulatih Terengganu FC, Badrul Afzan Razali menghormati keputusan pasukan itu untuk merehatkan beliau.
Hal ini dinyatakan beliau dalam satu teks penghargaan yang disiarkan di platform rasmi Peteh hari ini.
Meskipun sedar beliau tidak lagi bersama Terengganu, Badrul menghargai tempoh lapan tahun bersama pasukan itu sebagai jurulatih.
Ini kerana tempoh itu menyaksikan beliau belajar dan menimba pengalaman dalam dunia kejurulatihan sebelum diberi amanah membimbing skuad utama Terengganu.
“Hari ini adalah satu detik yang cukup bermakna dan penuh emosi buat saya. Selepas hampir lapan tahun bersama Terengganu FC, perjalanan ini bukan sekadar tentang bola sepak, tetapi tentang kepercayaan, pengorbanan dan sebuah keluarga yang telah saya anggap sebagai rumah sendiri.
“Perjalanan saya bersama Terengganu FC bermula di TFC III pada tahun 2018 hingga 2020, kemudian diberi kepercayaan untuk meneruskan tugas di TFC II dari 2021 hingga 2022, sebelum melangkah ke pentas tertinggi bersama pasukan Liga Super dari 2023 hingga 2025.
“Setiap fasa ini membawa pengalaman, cabaran dan kenangan yang amat berharga buat saya,” katanya.
Badrul turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang menyokongnya sepanjang bersama Terengganu.
Beliau turut mendoakan agar Peteh terus berjaya selepas ini dan akan sentiasa menyokong pasukan itu.
“Walaupun perjalanan saya sebagai Ketua Jurulatih pasukan Terengganu FC mungkin berakhir di sini, rasa bangga dan cinta saya terhadap kelab ini tidak akan pernah pudar.
“Saya percaya Terengganu FC akan terus melangkah lebih jauh dan mencapai kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan,” ujarnya.
Susulan itu, pembantu Badrul, Tengku Hazman Raja Hassan dilantik sebagai jurulatih interim sehingga seorang jurulatih baru dilantik.