Badrul Afzan Syukur Raih Satu Mata Berharga
MakanBola
Terengganu FC

Pengendali Terengganu FC, Badrul Afzan Razali bersyukur kerana pasukannya meraih satu mata berharga di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).

Terengganu berharap dapat meneruskan rentak kemenangan apabila bertemu juara MFL Challenge Cup 2023, PDRM FC di SSMZA.

Malangnya, mereka ketinggalan apabila pelawat menyumbat dua gol menerusi Henri Doumbia. Peteh bangkit menyamakan kedudukan menerusi Azam Azmi Murad dan penalti Yann Mabella.

Badrul mengakui permulaan perlahan Peteh mengakibatkan pasukan itu dibolosi The Cops sebanyak dua kali.

Pada masa sama, beliau gembira melihat reaksi anak buahnya memburu gol penyamaan sehingga ke wisel penamat.

“Kalau kita lihat separuh masa pertama, kita lambat sesuaikan diri. (Kita) terlalu perlahan dan apabila PDRM menjaringkan gol, barulah kita nak menjaringkan gol.

“Bagi saya, kita kena belajar daripada perlawanan malam ini. Apa pun, tahniah kepada pemain-pemain yang bangkit pada separuh masa kedua.

“Orang kata kita ketinggalan dua gol tetapi kita dapat menjaringkan dua gol. Itu satu mata yang berharga buat kami pada malam ini,” katanya selepas perlawanan.

Terengganu kini mengalihkan fokus kepada aksi pusingan 16 Piala FA. Mereka bakal bertemu pendatang baru Liga Super, Imigresen FC untuk aksi pertama pada 17 Ogos ini.