Legenda bola sepak Singapura, Baihakki Khaizan memilih meninggalkan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).
Keputusan itu dibuat beliau menerusi satu kenyataan panjang di Instagram miliknya.
“Dengan rasa rendah diri dan penuh hormat, saya secara rasmi mengumumkan perletakan jawatan saya dari Persatuan Bola Sepak Singapura.
“Saya masih ingat hari-hari terawal saya di pejabat, bertanya kepada diri sendiri di mana hendak memulakan (perjalanan) ini. Berdasarkan pengalaman saya di atas padang, saya bawa prinsip ‘bermain mudah tetapi berkesan’ bersama.
“Dari situ, I membentuk kepercayaan yang menjadi panduan untuk tugas saya: ‘idea kecil, impak besar’,” katanya.
Baihakki turut berterima kasih kepada semua pihak yang menyokongnya sepanjang bersama badan induk bola sepak Singapura itu.
Meskipun tidak mendedahkan ke mana haluannya selepas ini, Baihakki memaklumkan misinya untuk dunia bola sepak akan tetap diteruskan.
“Ini mungkin pengakhiran kepada satu bab tetapi misi untuk berkhidmat kepada sukan ini akan sentiasa bersambung,” ujarnya.
Sepanjang bersama FAS, beliau menggalas beberapa peranan. Antaranya sebagai duta dan ketua projek khas (2022) sebelum menggalas peranan sebagai ketua perancang pejabat bahagian teknikal FAS (2023).
Pada Ogos lalu, isteri Baihakki, Norfasarie Mohd Yahya membuat satu hantaran tular yang mendakwa nama putera sulung mereka, Mika digugurkan daripada pasukan Singapura Bawah 16 Tahun (B-16).
Mika dilaporkan digugurkan kerana mahu fokus kepada peperiksaan terlebih dahulu daripada mengikuti latihan pusat pasukan itu di Bahrain.
The Straits Times melaporkan perkara tersebut bukan faktor utama yang mendorong Baihakki meninggalkan FAS.
FAS sendiri turut mengalami perubahan Badri Ghent menggalas tugas sebagai Setiausaha Agung baru badan induk itu pada 1 September lalu.