Pemain tengah St. Louis City 2 (STL2), Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal tetap berharap dapat mewakili Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.
Hasrat itu dizahirkan beliau selepas seorang peminat berharap Kuzain dapat menyarung jersi keramat skuad kebangsaan itu.
Peminat bernama Asyraf Amran itu berkata di ruang komen Instagram, “Saya harap anda dapat panggilan skuad kebangsaan.” Kuzain kemudiannya membalas, “Sama.”
Komen tersebut dibuat pemain tengah berusia 27 tahun itu menerusi hantaran terbarunya. Komen Kuzain turut dikongsikan akaun Harimau Abroad.
Sebelum ini, beliau memaklumkan kini berada di Malaysia untuk makan angin. Antara tempat yang menjadi tumpuan Kuzain ialah Kuala Lumpur.
Musim 2025 menyaksikan beliau merekodkan 25 penampilan, satu gol dan dua bantuan gol untuk STL2. Kuzain turut membantu pasukan itu mara ke pusingan suku akhir play off MLS Next Pro.