Bekas jurulatih Kelantan kini menggalas tugas sebagai jurulatih kelab divisyen tiga Belgium, RAEC Mons.
Jurulatih yang dimaksudkan ialah legenda Middlesbrough, George Boateng. Boateng, 49, dilantik sebagai jurulatih baharu RAEC Mons menerusi satu kenyataan di platform rasmi mereka.
“RAEC Mons dengan bangganya mengumumkan ketibaan George Boateng sebagai ketua jurulatih baharu.
“Bekas pemain antarabangsa Belanda, beraksi cemerlang selama lebih 20 tahun di peringkat tertinggi (Liga Perdana Inggeris (EPL), pasukan kebangsaan), beliau kemudiannya mencipta reputasi yang kukuh sebagai jurulatih,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Boateng menggalas peranan sebagai jurulatih skuad utama kelab Liga Kejohanan, Coventry City.
Walau bagaimanapun, bekas pemain tengah Belanda itu memilih meninggalkan kelab selepas The Sky Blues memilih Frank Lampard sebagai jurulatih baharu pada November 2024.
Sebelum memilih menyertai RAEC Mons, Boateng dikaitkan dengan beberapa kelab. Ini termasuk bekas juara EPL musim 1994-1995, Blackburn Rovers.
Boateng menggalas peranan sebagai jurulatih Kelantan pada 2014 sebagai pengganti Steve Darby. Beliau kemudiannya meninggalkan kelab Pantai Timur itu pada 2015.
Boateng juga turut menggantung but selepas beraksi dalam saingan Liga Malaysia. Beliau beraksi bersama T-Team (kini Terengganu FC II) sebanyak 15 kali pada 2013.