Bekas Jurulatih Penang Berhijrah Ke Indonesia
MakanBola
Penang FC

Bekas jurulatih Penang FC, Tomas Trucha memilih berkelana ke Indonesia.

Ini selepas PSM Makassar mengumumkan pelantikan jurulatih Republik Czech berusia 53 tahun itu sebagai jurulatih baharu pasukan.

“Selamat datang ke kelab, Encik Tomas Trucha. Jurulatih Republik Czech memiliki lesen UEFA Pro siap menggalas tugas berat sebagai Nakhoda Kapal Pinisi.

“Tugas untuk memimpin pelayaran dalam menembus ombak, angin keras dan menghadirkan kembali semangat juara di dalam Bahtera Pinisi. Mari teruskan legasi!” kata kelab dalam satu kenyataan.

Trucha dibawa masuk menggantikan jurulatih sebelumnya, Bernardo Tavares. Tavares meninggalkan PSM Makassar susulan pelbagai isu yang melanda pasukan itu termasuk isu kewangan.

Trucha mengikut jejak beberapa jurulatih yang pernah berkecimpung dalam Liga Malaysia (Liga M) ke Indonesia.

Selain beliau, Datuk Ong Kim Swee, Bojan Hodak, Alfredo Vera, Mario Lemos dan Divaldo Alves juga pernah melatih pasukan Liga M.

Selain Penang, Trucha pernah melatih Kelantan United FC (kini Kelantan The Real Warrior FC (KTRW FC) pada 2023.