Bekas Penyerang Harapan Penang Berkelana Ke Thailand
MakanBola
PT Prachuap FC

Bekas penyerang Penang FC, Rodrigo Dias memilih berkelana ke Thailand.

Ini selepas penyerang berusia 31 tahun itu sah menyertai kelab Thai League 1, PT Prachuap. Perpindahan Dias disahkan menerusi satu pengumuman di platform rasmi kelab itu.

“PT Prachuap FC dengan sukacitanya mengumumkan bahawa penyerang Brazil berusia 31 tahun, Rodrigo Dias telah menandatangani kontrak secara rasmi untuk menyertai skuad The Killer Wasps.

“Rodrigo Dias beraksi di negara asalnya Brazil, Portugal, Vietnam, Kuwait dan yang terbaru, bermain untuk Penang FC dalam Liga Malaysia, menjaringkan 10 gol dan empat bantuan gol daripada 22 perlawanan,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Dias meninggalkan Penang pada akhir musim 2024/25. Ini selepas Sang Harimau Kumbang memilih untuk tidak mengekalkan khidmat beliau dan Neto pada akhir musim.

Penang turut mengucapkan selamat tinggal kepada kapten dan orang besi Brazil, Rafael Vitor. Ini selepas Vitor memilih kembali ke Brazil selepas berkelana di Pulau Pinang selama lima musim.

Dias dijangka bersaing dengan Aaron Olanare, Iklas Sanron, Soffan Sanron dan Jehhanafee Mamah untuk slot penyerang utama.

Beliau bukan satu-satunya bekas pemain import Liga Malaysia (Liga M) yang beraksi untuk PT Prachuap. Bekas orang besi Perak FC, Jesper Nyholm turut beraksi mewakili The Killer Wasps.

Dias telah menyertai sesi latihan anak buah Sasom Pobprasert baru-baru ini. Beliau berpotensi diturunkan untuk aksi pertama liga antara PT Prachuap dan BG Pathum United pada 16 Ogos.