Persaingan merebut Kasut Emas Liga Super musim ini semakin hangat membabitkan dua penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva dan Jairo da Silva.
Ini kerana kedua-dua penyerang Brazil itu berkongsi penjaring terbanyak liga dengan 12 gol setakat ini.
Jairo menyamai catatan jaringan Bergson apabila membantu JDT menewaskan Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) 4-1 baru-baru ini.
Selain bekas penyerang Pafos itu, Teto Martin, Oscar Arribas dan Nazmi Faiz Mansor masing-masing turut mencetak nama sebagai penjaring.
Persaingan ini dijangka lebih sengit apabila Bergson kembali pulih daripada kecederaan. Ini kerana penyerang berusia 34 tahun itu masuk sebagai pemain gantian dalam aksi sama.
Rakan senegara yang mewakili Selangor FC, Chrigor Moraes terus memberi saingan kepada Bergson dan Jairo. Ini kerana Chrigor sudah meledakkan sembilan gol dalam liga.
Bekas penyerang Buriram United itu berpeluang menambah rekod jaringannya apabila Selangor turun menentang PDRM FC.
Penyerang Kuching City FC, Ronald Ngah Wanja berada di belakang Chrigor dengan lapan gol. Seperti penyerang Brazil itu, Ngah juga memiliki peluang untuk menambah catatan golnya.
Ini kerana Kuching City bakal berentap dengan KL City FC di Cheras pada 24 Disember. The City Boys bukan saja berharap dapat menyekat jentera serangan The Cats diketuai Ngah.
Malah, mereka berharap dapat merobek benteng kebal Kuching City yang dikawal Haziq Nadzli. Ini kerana Kuching City hanya dibolosi lima kali dalam liga, sama seperti JDT.