Penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) menerima berita baik menjelang final Piala FA Malaysia apabila cuti peristiwa pada 15 Disember akan dilaksanakan sekiranya Harimau Selatan menewaskan Sabah FC di pentas akhir.
Perkara itu dikongsikan sendiri oleh Pemilik JDT, DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor dalam sesi soal jawab bersama penyokong yang diadakan pada 10 Disember.
“Memang cuti (jika JDT tewaskan Sabah). Tapi kalau menang. Kalau (JDT) kalah jangan cuti,” seloroh Tunku Ismail dalam sesi soal jawab bersama penyokong yang disiarkan di Facebook Johor Southern Tigers.
JDT akan turun menentang Sabah pada 14 Disember ini dalam aksi final yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, dengan sepak mula pada pukul 9 malam.
JDT hadir selaku juara bertahan Piala FA, manakala Sabah pula kembali mewarnai pentas final selepas 27 tahun, dengan penampilan terakhir mereka di perlawanan akhir adalah pada tahun 1998.
Perlawanan akhir ini pasti dinantikan semua dengan reputasi cemerlang dalam saingan tempatan, JDT pastinya turun dengan keyakinan tinggi untuk mempertahankan kejuaraan. Manakala Sabah pula bakal turun dengan semangat luar biasa dan misi besar mahu menamatkan penantian hampir tiga dekad.