Bilik Presiden FAM Sudah Kosong, Surat Letak Jawatan Sudah Dihantar?
MakanBola
FA Malaysia

Khabar angin perletakkan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Joehari Ayub semakin hangat.

Terdahulu, desas-desus timbul mengatakan bakal berlaku perubahan pucuk pimpinan FAM dalam masa terdekat kini dengan jawatan selaku Presiden badan induk itu bakal jadi tumpuan.

Laporan oleh wartawan bola sepak Astro Arena, Fina Nasrom memberitahu bahawa nama Datuk Wira Yusoff Mahadi ketika ini dikatakan bakal menyandang jawatan Pemangku Presiden FAM.

Datuk Wira Yusoff Mahadi yang ketika ini memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden mendapat perhatian apabila telah dikaitkan bakal menggantikan tempat Datuk Joehari Ayub di FAM.

“Kelana Jaya sedang menunggu wajah baru, Datuk Yusof Mahadi dalam bentuk siap sedia (sebagai) Pemangku Presiden?” lapor Fina Nasrom di laman X.

Makluman terbaharu pada Isnin pula mendedahkan bahawa bilik Presiden FAM di wisma badan induk itu sudah pun mula dikosongkan malah menghangatkan spekulasi Datuk Joehari Ayub bakal melepaskan jawatan beliau.

Perkongsian daripada Fina Nasrom tersebut turut disertakan dengan sekeping foto yang menyaksikan sebuah kenderaan di perkarangan Wisma FAM sudah mula mengangkut barang keluar.

Malah, Fina Nasrom turut sempat memberitahu bahawa surat peletakan jawatan telah dihantar kepada Sekretariat FAM dan akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Exco pada Rabu ini.

Untuk rekod, Datuk Joehari Ayub dilantik sebagai Presiden FAM pada 15 Februari lalu untuk menggantikan tempat Tan Sri Hamidin yang membuat keputusan bagi tidak bertanding kali ini.