Pemain sayap Chelsea, Mykhailo Mudryk dilaporkan mahu beralih arah dari sukan bola sepak ke arena olahraga.
Akhbar Marca melaporkan keputusan itu dibuat pemain sayap berusia 24 tahun itu untuk memberi nafas baru kepada kariernya dalam dunia sukan.
Mudryk ketika ini menjalani penggantungan anti-doping selepas didakwa Persatuan Bola Sepak (FA) pada Disember 2024. Ini selepas sampel air kencing beliau mengandungi meldonium.
Susulan itu, Mudryk memaklumkan bahawa beliau tidak bersalah dan bersedia bekerjasama dengan siasatan FA. Pasukan guaman beliau dari firma Morgan Sports Law turut memperjuangkan kesnya.
Mudryk dilaporkan sudah mula berlatih dengan pasukan pelari pecut Olimpik Ukraine. Beliau berharap dapat memanfaatkan kepantasan yang dimilikinya sebagai prospek pingat Olimpik buat negaranya.
Mudryk sememangnya dikenali sebagai pemain sayap yang lincah dan pantas. Beliau pernah merekodkan kelajuan 36.67 kilometer (km) semasa membuat penampilan pertama bersama The Blues.
Sekiranya Mudryk ingin menjadi prospek pingat buat Ukraine, beliau bukan saja perlu melepasi piawaian kelayakan badan induk olahraga dunia, World Athletics.
Malah, beliau juga perlu melepasi sesi percubaan membabitkan pelari pecut Ukraine pada tahun 2027. Sekiranya Mudryk melepasi semua ini, beliau berpeluang membuat penampilan dalam Sukan Olimpik 2028.
Setakat ini, belum ada pengesahan rasmi daripada pemain sayap Chelsea itu tentang perancangannya menyertai acara olahraga.