Bintang-bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC menjadi taruhan Malaysia menghadapi kelayakan Piala Asia Futsal 2026.
Ini selepas FAM mengumumkan senarai 20 pemain yang dipanggil jurulatih, Rakhpol Sainetngam untuk menyertai kem latihan pusat yang bermula pada 28 Ogos ini.
Skuad kali ini menyaksikan penyertaan tujuh pemain JDT. Ini termasuk wira pasukan itu yang menyumbat dua gol dalam aksi penentuan tempat ketiga Malaysia Futsal Cup (MFC), Ridzwan Bakri.
Pemain terbaik MFC, Syahir Iqbal Khan Akbar Khana dan penjaga gol terbaik MFC, Syaifuddin Syukri mengetuai kontinjen Selangor.
Harith Naim Nasir mengetuai kontinjen empat pemain Pahang Rangers FC. Azhar Aris, Navin Das Arokiadass dan Syed Shahrul Niezam Syed Abdul Rahim masing-masing mewakili Sabah, KL City FC dan Terengganu.
Sebelum menghadapi kempen kelayakan, skuad negara juga akan menjalani latihan di Bangkok, Thailand dari 8 hingga 14 September ini.
Malaysia berada dalam Kumpulan G bersama dua pasukan Asia Barat, Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Bangladesh turut berada dalam kumpulan sama.
Malaysia akan membuka kempen kumpulan dengan menentang UAE pada 20 September. Ini disusuli aksi menentang Bangladesh pada 22 September dan Iran (24 September).