Bekas pengendali KL City FC, Bojan Hodak berharap pasukan Lembah Klang itu dapat melangsaikan hutang lama membabitkan pemain pasukan itu.
Perkara itu dinyatakan jurulatih Croatia itu apabila diminta mengulas perkembangan terbaru juara Piala Malaysia 2021 itu.
Hodak mengakui kehadiran ramai pemain baharu untuk musim 2025/26 dilihat satu perkembangan yang baik buat KL City.
Pada masa sama, beliau mendakwa pasukan itu masih memiliki hutang lama dengan pemain selama dua musim. Atas sebab itu, Hodak berharap isu tersebut menjadi keutamaan The City Boys agar ia tidak menjejaskan perancangan pasukan itu.
“Ia sesuatu yang bagus di mana mereka menandatangani ramai pemain baharu. Walau bagaimanapun, mereka masih berhutang dengan ramai pemain sejak dua musim sebelumnya.
“Saya harap mereka dapat menjelaskan hutang tersebut,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Hodak percaya kehadiran pemain seperti Safawi Rasid, Syamer Kutty Abba dan Manuel Hidalgo mampu membantu KL City mencabar kelompok tiga pasukan terbaik.
“Bila anda memiliki wang dan anda membawa masuk pemain yang bagus, sudah tentu pasukan akan jadi lebih baik.
“Saya percaya Risto (Vidakovic) memiliki pengalaman di Malaysia dan saya percaya beliau akan melakukan satu tugas yang bagus. Ya, saya rasa (mereka boleh mencabar) untuk kedudukan ketiga,” ujarnya.
Hodak cukup dikenali ramai penyokong The City Boys. Ini kerana beliau bertanggungjawab membawa pasukan itu menjuarai Piala Malaysia 2021 dan final Piala AFC 2022.