Pengendali Persib Bandung, Bojan Hodak mendedahkan beliau pernah menyatakan minat untuk membimbing Selangor FC.
Hodak mendedahkan perkara ini berlaku beberapa tahun sebelum beliau mengambil keputusan membimbing Pangeran Biru di Indonesia pada 2023.
Walau bagaimanapun, pengurusan The Red Giants kemudiannya menolak minat bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) itu atas alasan Hodak bukan calon pilihan mereka.
“Saya tak tahu mereka patut terima ini. Dua, tiga tahun lalu, saya ada bercakap dengan pengurusan Selangor.
“Mereka berjabat tangan dengan saya dan beritahu saya bukan pilihan mereka. Sejujurnya, ada sesuatu yang berlaku, mungkin mereka patut terima.
“Sejak itu, saya menang dua trofi dan mereka (kali terakhir) menang trofi bertahun-tahun lalu,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan ACL2 Selangor-Persib.
Aksi ini menyaksikan Pangeran Biru meraih kemenangan dramatik 3-2. Dua jaringan pemain gantian, Adam Alis mengakibatkan Selangor tersingkir daripada ACL2.
Peristiwa ini dipercayai berlaku pada 2022 selepas Selangor memilih melepaskan khidmat jurulatih Jerman, Michael Feichtenbeiner. Tan Cheng Hoe kemudiannya dibawa masuk sebagai penggantinya.
Hodak bukan asing dengan bola sepak Malaysia kerana pernah membimbing beberapa pasukan. Selain JDT, beliau juga pernah melatih Kelantan, UPB-MyTeam, KL City FC dan skuad Malaysia B-19.
Hodak pernah menggondol gelaran juara Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih. Beliau turut membantu KL City mara ke final Piala AFC 2022.