Kelab gergasi Bundesliga, Borussia Dortmund menjadi pilihan pemain muda wanita sensasi Malaysia, Qaseh Rania Najib.
Ini selepas pemain berusia 15 tahun itu memilih menyertai Dortmund menerusi satu hantaran di Instagram. “Jerman,” katanya ringkas.
Qaseh Rania menjadi pemain Asia terbaru yang menyertai kelab itu. Sebelum ini, pemain Singapura, Danelle Tan menjadi pemain Asia pertama menyertai Dortmund pada 2023.
Qaseh Rania dilaporkan memeterai kontrak selama tiga tahun bersama kelab yang diberi jolokan Der BVB itu.
Selain Dortmund, bakat pemain Malayan Tigress B-19 itu turut diintai beberapa kelab Eropah seperti Real Betis dan Parma.
Walau bagaimanapun, Dortmund menjadi pilihan beliau bukan saja atas faktor pendidikan. Malah, pengurusan Der BVB menunjukkan kesungguhan dengan menunjukkan pelan perkembangan karier Qaseh Rania.
Beliau mengikut jejak beberapa pemain Malaysia yang pernah atau kini beraksi di luar negara. Antaranya Nurul Azurin Mazlan, Celine Chuang dan Kanchenjeet Kaur.