Bekas penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad menjadikan pasukan Brunei DPMM sebagai pasukan barunya bagi menghadapi musim 2025/26.
Ini selepas pengurusan DPMM mengumumkan perpindahan penyerang berusia 30 tahun itu di laman sesawang rasmi mereka.
Pengumuman ini turut mengesahkan khabar angin perpindahan yang dikongsikan pengacara Nindia, Hafizal Hamad baru-baru ini.
“Syafiq Ahmad, pemain JDT (Johor Darul Ta’zim) telah memutuskan untuk menyertai DPMM FC menjelang saingan Liga Super musim hadapan.
“Pemain JDT menyertai Kedah Darul Aman secara pinjaman semusim pada musim lalu. Musim lalu menyaksikan Syafiq beraksi sebanyak 11 kali dan dipanggil menyertai skuad kebangsaan sebanyak dua kali pada 2024,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Syafiq merekodkan 15 penampilan, dua gol dan satu bantuan gol sepanjang musim 2024/25 bersama Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
Syafiq menjadi pemain Malaysia terbaru yang memilih berkelana ke DPMM. Sebelum ini, Fairuz Zakaria dan Tommy Mawat Bada turut memilih menyertai pasukan itu.
Bekas penyerang Kedah itu dijangka bersaing dengan penyerang Indonesia, Ramadhan Sananta untuk slot penyerang utama.
Meskipun sudah mendapatkan Syafiq dan Ramadhan, DPMM ingin mendapatkan seorang penyerang import. Ini memastikan kelab itu memiliki peledak berbisa bagi menghadapi musim 2025/26.