Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB), Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai mahu menerajui kelab ini kearah lebih profesional dengan fokus utama diletakkan kepada peningkatan nilai komersil dan kemantapan kewangan kelab.
Usaha ini selaras dengan visi kelab untuk menjadi sebuah organisasi bola sepak yang mampan dari segi kewangan, profesional, dan berdaya saing di peringkat nasional.
Nilai komersil yang dilihat perlu ditambah baik adalah dari sudut penajaan korporat dan sejak memegang jawatan pertengahan Ogos lalu, Sheikh Farouk telah berjaya membawa masuk dua rakan perniagaan baharu buat TFC.
Terbaharu, TFC mengumumkan kerjasama strategik bersama Bubbles O2 Sdn Bhd (Bubbles O2) sebagai rakan perniagaan baharu kelab yang mana ianya menandakan langkah positif pengurusan dalam mempelbagaikan peluang perniagaan.
Ia turut memperkukuhkan kedudukan jenama kelab bukan sahaja di dalam padang, malah di luar padang.
Menurut Sheikh Farouk, kerjasama yang dijalinkan adalah bagi meningkatkan nilai pasaran kelab tersebut untuk kestabilan ekonomi pasukan Terengganu dalam Liga Malaysia.
“Kerjasama ini adalah sebagai langkah buat TFC untuk menuju era baharu di mana kelab ini perlu diuruskan secara profesional yang bukan sahaja menambah nilai komersil dan kewangan kelab tetapi turut memberikan nilai tambah buat para penaja menerusi pelbagai aktiviti bersama penyokong.
Tambah beliau, skuad Terengganu sangat mengutamakan keputusan ketika perlawanan dan tajaan bagi memastikan kewangan pasukan dalam keadaan baik.
“Walaupun fokus utama kami sebagai kelab bola sepak adalah keputusan di atas padang, tetapi kami juga mahu kelab ini bergerak secara mandiri di luar padang menerusi peluang-peluang perniagaan dan penajaan bagi memastikan kewangan yang mapan di masa hadapan,” jelas Sheikh Farouk ketika majlis menandatangani memorandum persefahaman.
Sebagai simbolik kepada permulaan kerjasama ini, pihak pengurusan TFCSB telah mengadakan majlis menandatangani perjanjian kerjasama serta lawatan rasmi ke Kilang Bubbles O2 di Negeri Sembilan.
Majlis tersebut telah disertai oleh Yang Berhormat Ustaz Hishamuddin bin Abdul Karim, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah TFCSB serta barisan pengurusan yang lain.
Kehadiran barisan kepimpinan ini bukan sahaja sebagai tanda sokongan terhadap kerjasama strategik yang dimeterai, malah turut memperkukuhkan hubungan perniagaan.
Selain itu, keyakinan bersama untuk memastikan kerjasama ini memberi manfaat jangka panjang kepada kedua-dua pihak.
BubblesO2, yang merupakan satu-satunya air mineral semula jadi dengan kandungan oksigen tinggi di Malaysia, dilihat sangat sesuai dengan gaya hidup aktif pasukan Terengganu FC serta penyokong setia.
Syarikat yang ditubuhkan pada 2018 semakin berkembang pesat dan membuktikan kemampuan untuk bersaing dalam industri minuman premium dengan menjadikan penajaan dan CSR sukan sebagai salah satu pemacu utama kejayaan.
Terengganu FC adalah rakan kerjasama baharu selain menjadi Rakan Rasmi Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) dan inisiatif Road to Gold (RTG).
Selepas itu, Rakan Rasmi National Baseball League (NBL) selain penglibatan dalam kejohanan berprestij seperti Le Tour de Langkawi, Malaysia Football League (MFL) di semua peringkat umur.