BWF World Championship: Pearly Tan-M. Thinaah Ke Final, Singkirkan Matsuyama-Shida
UltraSukan
MSN Malaysia

Beregu wanita utama Malaysia, Pearly Tan dan M. Thinaah dipaksa bekerja keras sebelum mengesahkan kemaraan ke final BWF World Championships.

Pearly-Thinaah mara dengan menewaskan wakil Jepun, Nami Matsuyama dan Chiharu Shida di peringkat separuh akhir.

Selepas menjadi beregu wanita pertama Malaysia mara ke separuh akhir BWF World Championships, beregu nombor dua dunia itu berharap dapat mencipta satu lagi sejarah.

Meskipun begitu, Matsuyama-Shida menjadi penghalang antara Pearly-Thinaah dan pentas final. Aksi ini juga penting buat beregu Jepun itu kerana mereka akan berpisah selepas tamat kejohanan.

Aksi ini juga peluang buat Matsuyama-Shida membalas dendam kepada Pearly-Thinaah. Ini kerana beregu nombor tiga dunia itu tewas kepada beregu negara dalam saingan Japan Open.

Set pertama menyaksikan pada awalnya, kedua-dua beregu bersaing sengit mendapatkan mata. Pada satu ketika, mereka hanya dipisahkan satu mata pada kedudukan 11-10.

Matsuyama-Shida kemudiannya tampil lebih agresif sebelum meraih kemenangan set pertama dengan keputusan 21-14.

Set kedua menyaksikan Pearly-Thinaah tampil lebih garang. Permainan lebih agresif beregu negara itu menyaksikan mereka mendahului pada kedudukan 13-8.

Kesilapan demi kesilapan yang dilakukan Matsuyama-Shida membolehkan Pearly-Thinaah menang dengan keputusan 21-13. Ini menyaksikan perlawanan diheret ke set penentuan.

Set penentuan menyaksikan kedua-dua beregu pada awalnya bersaing sengit mendapatkan mata. Pearly-Thinaah kemudiannya mendahului pada kedudukan 13-9.

Permainan agresif dan pantas yang dipamerkan beregu negara itu memastikan mereka meraih kemenangan dengan keputusan 21-12.

Pearly-Thinaah akan menentang sama ada wakil China, Liu Sheng Shu-Tan Ning atau satu lagi wakil Jepun, Rie Iwanaga-Kie Nakanishi di pentas final.