CAFA Balas Kenyataan Tarik Diri Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) menyatakan rasa kesal susulan tindakan Harimau Malaya menarik diri daripada saingan CAFA Nations Cup.

Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memaklumkan skuad negara menarik diri daripada kejohanan itu.

Antara faktor yang dinyatakan sebagai punca Malaysia menarik diri ialah isu tarikh jadual kejohanan dan kesukaran mendapatkan pelepasan pemain.

Susulan itu, CAFA tampil dengan kenyataan balas yang disiarkan di platform rasmi mereka. CAFA memaklumkan tarikh kejohanan tidak berubah sejak dari awal lagi.

“Penyertaan Malaysia sudah disahkan lebih awal di mana mereka mengetahui tarikh kejohanan (29 Ogos hingga 8 September) dan jadual, tarikh-tarikh tersebut tidak pernah diubah sejak dari awal lagi.

“Malangnya, keputusan penarikan diri telah mencetuskan gangguan kepada proses organisasi yang berterusan terutama dari segi perancangan dan persediaan,” kata CAFA dalam satu kenyataan.

Selain itu, negara-negara yang bertanding turut diberi kelonggaran mendapatkan pemain daripada senarai 35 pemain yang didaftarkan. Senarai pemain juga boleh diubah dari satu perlawanan ke satu perlawanan yang lain.

“Walau bagaimanapun, mengikut peraturan kejohanan, pendaftaran akhir pemain yang dipilih daripada senarai awal 35 boleh diserahkan mengikut satu perlawanan ke satu perlawanan yang lain.

“Ini memberi kebebasan maksimum termasuk kemungkinan pemain utama menyertai pasukan untuk perlawanan-perlawanan berikutnya,” tambahnya.

CAFA turut menyatakan komitmen untuk memastikan saingan CAFA Nations Cup 2025 akan berlangsung dengan jayanya.