CAFA Nations Cup: India Cemerlang Tumpaskan Tajikistan
MakanBola
Tajikistan FF

India membuka kempen Kumpulan B CAFA Nations Cup dengan langkah kanan apabila menewaskan juara Pestabola Merdeka 2023, Tajikistan.

The Blue Tigers berharap dapat meraih kemenangan di bawah bimbingan jurulatih baharu, Khalid Jamil. The Crowns pula memburu permulaan baik dalam kejohanan itu.

India membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi bek tengah East Bengal, Anwar Ali. Lapan minit kemudian, giliran gandingan Anwar, Sandesh Jhingan pula mencetak gol.

Tajikistan yang dibimbing jurulatih Georgia, Gela Shekiladze segera memperkemaskan rentak untuk mengurangkan defisit gol.

Hasilnya, penyerang Xorazm Urganch, Shakhrom Samiev merapatkan jurang Tajikistan menerusi gol pada minit ke-22.

Kedua-dua pasukan terus berusaha memburu gol tambahan tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, Tajikistan terus memburu gol penyamaan menerusi Shakhrom tetapi tidak berhasil.

Hal ini mendorong Shekiladze membuat beberapa pertukaran pemain dengan harapan dapat mengubah kembali momentum perlawanan.

The Crowns kemudiannya dianugerahkan sepakan penalti pada minit ke-73. Malangnya, penalti yang diambil Rustam Soirov gagal menepati sasaran.

Tajikistan terus memberi tekanan kepada India tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan. CAFA turut memilih Jhingan sebagai pemain terbaik perlawanan.

Kemenangan ini bukan saja kemenangan pertama buat Khalid sebagai jurulatih India. Malah, ini turut menceriakan penyokong selepas AIFF diberi tempoh sehingga 30 Oktober ini untuk memuktamadkan perlembagaan baharu mereka.

Keputusan ini menyaksikan India berada di tempat kedua di belakang pasukan gergasi Asia, Iran. Iran mengetuai Kumpulan B selepas menewaskan Afghanistan dalam satu lagi aksi kumpulan.

Selepas ini, India akan menentang Iran pada 1 September. Afghanistan pula akan menjadi lawan Tajikistan pada hari yang sama.