Malaysia memiliki seorang pemain warisan wanita muda yang sedang mengorak langkah di Belgium.
Makluman daripada Women Football Malaysia dan Harimau Abroad melaporkan seorang bakat muda meningkat naik di Belgium bernama Nasha Nur Aini Abdul Wahab berpeluang wakili negara.
Nasha Nur Aini yang ketika ini baru berusia 14 tahun sedang bermain bersama salah sebuah kelab di Belgium iaitu Royale Union Saint-Gilloise di peringkat umur bawah 16 tahun.
Ayah Nasha yang merupakan jurulatih elit di kelab berkenaan dilaporkan berasal dari Johor sekaligus membolehkan beliau tampil menyarung jersi skuad wanita Malaysia jika diperlukan.
Menerusi satu perbualan bersama Women Football Malaysia, Nasha tampak teruja andai diberikan peluang untuk dipanggil mewakili Malayan Tigress dan menggalas nama dan cabaran negara.
”Saya juga (teruja untuk mewakili Malayan Tigress) In Shaa Allah,” ujar Nasha Nur Aini kepada Women Football Malaysia yang dikongsikan oleh Harimau Malaya.
Difahamkan setakat ini masih belum ada sebarang usaha dari mana-mana pihak khususnya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi membawa Nasha Nur Aini mewakili skuad wanita negara.
Skuad Malayan Tigress ketika ini diperkuat dengan kehadiran dua tonggak warisan Malaysia-Amerika Syarikat iaitu Tegen-Butler dan Kachenjeet Kaur yang sedang beraksi di Sukan SEA.