Cardiff City menzahirkan penghargaan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) atas cabaran sengit yang ditunjukkan dalam aksi pra-musim kedua-dua pasukan baru-baru ini.
Penghargaan itu dizahirkan Ketua Operasi Bola Sepak The Bluebirds, Lee Southernwood kepada pengurusan JDT.
“Terima kasih kepada JDT atas perlawanan mencabar untuk sebagai pembuka jelajah (pra-musim) Sepanyol kami.
“Ia satu penghormatan bertemu CEO Harimau Selatan, Luis Garcia dan Pengarah Sukan, Kiko Insa sebelum perlawanan. Selamat berjaya untuk musim berikutnya,” katanya di X.
Susulan itu, Garcia turut menzahirkan penghargaan kepada pengurusan Cardiff termasuk Southernwood.
“Terima kasih Lee dan Cardiff City untuk satu aksi pra-musim yang kompetitif,” ujarnya di X.
“Ia satu penghormatan bertemu dengan pasukan dan staf anda, saya ucapkan selamat berjaya kepada anda untuk musim hadapan.”
Aksi antara JDT dan Cardiff pada 10 Julai lalu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 2-2. David Turnbull meletakkan The Bluebirds di hadapan pada minit ke-48.
Jairo da Silva menyamakan kedudukan 11 minit selepas itu. Rubin Colwill mengembalikan kelebihan satu gol Cardiff pada minit ke-62.
Gol lewat pemain pertahanan Sepanyol-Filipina, Oscar Arribas memastikan kedua-dua pasukan terikat 2-2. Perlawanan tersebut turut menyaksikan layangan dua kad merah.
Selepas Cardiff, JDT akan turun menentang Levante pada awal pagi 13 Julai. Penyokong JDT boleh menonton perlawanan tersebut menerusi saluran YouTube JDT TV.