Kelibat 3 pemain bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi sasaran untuk diawasi oleh Cardiff City menjelang aksi pra-musim pada awal pagi Khamis.
Pasukan JDT ketika ini berada di Sepanyol sejak minggu lalu untuk menjalani kem pra-musim selama 22 hari dengan aksi pemanas badan menentang 8 buah kelab telah diatur dalam tempoh ini.
Dua aksi telah pun ditempuh oleh skuad Harimau Selatan ini dengan cemerlang setelah merekodkan kemenangan 4-0 ke atas Real Murcia Imperial dan 1-0 menumpaskan Costa City dua hari lalu.
Ujian seterusnya menanti pasukan JDT adalah menentang kelab milik usahawan terkemuka Malaysia, Tan Sri Vincent Tan iaitu Cardiff City di Pinatar Arena pada awal pagi Khamis waktu tempatan.
Menjelang aksi hangat ini, Cardiff City telah menyenaraikan 3 bintang JDT sebagai pemain tumpuan yang berpotensi bakal memainkan peranan utama berdasarkan kebolehan dan data yang dicatat.
3 pemain tersebut adalah ayam tambatan pasukan, Bergson Da Silva bersama Arif Aiman dan juga ketua pasukan, Natxo Insa yang mencatatkan statistik hebat sepanjang musim lalu.
”Penyerang kelahiran Brazil, Bérgson da Silva, yang bakal menyarung jersi pasukan kebangsaan Malaysia mencatat sejarah apabila menyumbat 32 gol musim lalu,” ujar Cardiff City.
“Pemain berusia 34 tahun ini banyak menghabiskan karier di Brazil sebelum berhijrah ke JDT dan ketika ini menjadi watak berpengalaman serta ancaman utama di bahagian serangan.”
“Antara sorotan utama skuad ini juga termasuk bakat muda Arif Aiman, yang mencatat 5 gol serta dua bantuan jaringan dalam kempen Liga Juara-Juara AFC,” ulas The BlueBirds.
“Serta kapten berpengalaman Natxo Insa yang mengemudi jentera tengah.”
Aksi tumpuan JDT vs Cardiff City dijadualkan berlangsung di Pinatar Arena dengan sepak mula perlawanan bakal bermula jam 1 pagi hari Khamis waktu Malaysia serta siaran langsung di sini.