Careca Teringin Lawan Arif Aiman
MakanBola
TFC/JST

Pemain tengah Terengganu FC, Careca mendedahkan beliau teringin berentap dengan pemain sayap kebangsaan, Arif Aiman Hanapi.

Hal ini dinyatakan beliau apabila ditanya tentang siapa pemain pilihan yang mahu dihadapinya dalam saingan Liga Super musim ini.

Pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menjadi pilihan Careca kerana Arif antara pemain terbaik Liga Super ketika ini.

“Arif Aiman ialah seorang pemain yang bagus. Saya sudah melihatnya beraksi dalam banyak perlawanan. Saya melihat beliau sebagai pemain terbaik di Malaysia ketika ini,” katanya.

Careca percaya ini turut dibantu dengan peningkatan mutu Liga M lebih-lebih lagi bila JDT mewakili negara dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).

“Setiap tahun mutu Liga Malaysia (Liga M) makin bertambah. Jadi, saya fikir liga kali ini telah mencapai tahap terbaik.

“Semasa saya bermain di Korea (bersama Gangneung Citizen), saya banyak menonton perlawanan liga Malaysia dan AFC (ACLE) serta Johor (JDT). Saya percaya di Malaysia terdapat banyak pasukan bagus,” ujarnya.

Careca menyertai Terengganu bagi membantu cabaran pasukan itu menghadapi musim 2025/26. Beliau merekodkan lima penampilan dan dua gol dalam Liga M setakat ini.