Pemain warisan negara, Anuar Ceesay memberi bayangan beliau bakal mewarnai skuad Harimau Malaya.
Ini berdasarkan siri foto yang dimuat naik pemain berusia 23 tahun itu di Instagram baru-baru ini. Antara gambar yang dikongsikan Anuar ialah gambar beliau memandu kereta Perodua dan menziarahi kubur neneknya.
Mengikut laporan sebelumnya, beliau ialah pemain berdarah Inggeris-Gambia-Malaysia. Nenek Anuar merupakan warga Malaysia dan berasal dari Hulu Langat, Selangor.
Manakala ibunya pula dilahirkan di Singapura. Meskipun begitu, ibu Anuar turut dibesarkan di Hulu Langat.
Selepas neneknya kembali ke rahmatullah dua tahun lalu, pemergiannya memberi kesan kepada Anuar. Tidak hairanlah ramai peminat tersentuh apabila melihat beliau menziarahi kubur neneknya.
Tindakan Anuar memandu kereta Perodua turut menunjukkan beliau tidak kekok menggunakan produk keluaran tempatan.
Ramai penyokong percaya bekas pemain Leatherhead itu bakal mewarnai skuad kebangsaan. Selain siri foto di Instagram, Anuar turut meninggalkan simbol angkat tangan dan jam pasir dalam satu hantaran di X.
Beliau seolah-olah memberi bayangan bahawa hasratnya menyertai Harimau Malaya bakal menjadi realiti.
Sekiranya perkara ini menjadi realiti, Anuar bakal memberi pilihan tambahan kepada jurulatih Australia, Peter Cklamovski di bahagian serangan.